Sunday, 7 December 2014

NOVEL-NOVEL MELAYU MUTAKHIR: ANALISIS CERMINAN NILAI BUDAYA BANGSA

Saya bersetuju dengan tulisan Ramli Isin tentang cerminan budaya yang dipancarkan dalam karya. Setiap karya yang dihasilkan memaparkan cerminan budaya bangsa ketika karya itu dihasilkan dan bukannya zaman ia diterbitkan. Hal ini kerana seorang penulis mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sebuah karya yang bermutu. Pelbagai zaman yang dilalui mempelbagaikan lagi gambaran masyarakat di dalamnya.

Penulis akan mengambil latar masyarakat, ekonomi mahupun keadaan politik pada zaman karyanya dihasilkan. Antara novel-novel yang mempunyai nilai budaya adalah  Ranjau Sepanjang Jalan, Kemelut, Seluang Menodak Baung, Srengenge karya Shahnon Ahmad, Krisis karya Alias Ali, Angin Timur Laut, Juara karya S. Othman Kelantan, Salina, Adik Datang, Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said, Lambak karya Zaid Ahmad, Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga karya Jong Chian Lai, Ngayau, Bagaton karya Amil Jaya, Empangan karya Zakaria Ali, Jejak Pulang karya Dharmala N.S, Rimba Harapan karya Keris Mas.



Novel-novel karya Shahnon Ahmad banyak memaparkan mengenai latar masyrakat Melayu yang benar-benar berlaku ketika itu. Melalui Rentong misalnya kita melihat bahawa Shahnon cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Shahnon Ahmad melahirkan simpatinya yang melimpah terhadap perjuangan kaum tani yang miskin di kampungnya Banggul Derdap. Kekuatan Shahnon dalam karya-karyanya ialah kekuatan sensitiviti dan imaginasinya sebagai seniman yang berhasil menangkap segala konflik jiwa orang kampung. Dalam mengabdikan kehidupan desa yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya, lukisan-lukisan alam dan suasana Banggul Derdap menjadi hidup dan bererti. Suatu keistimewaan yang kita dapati dan nyata daripada penyorotan Shahnon terhadap petani-petani miskin ialah bukan maksud dirinya meletakkan segala kesalahan kepada pemerintahan seperti yang sering dikemukakan oleh pengarang-pengarang ASAS 50 dalam waktu kegemilangan angkatan tersebut dulu. Beliau melihat orang kampung dengan segala kesederhanaan mereka untuk mencari rezeki yang halal, di samping menyerahkan dirinya bulan-bulat kepada Allah Azzawajalla. Segala musuh tanaman mereka datangnya daripada Allah dan kepada Allah jugalah mereka meminta perlindungan.

Dapat disimpulkan bahawa pengarang-pengarang yang menghasilkan novel-novel tersebut sememangnya mempunyai bakat, daya kreativiti dan persepsi yang tinggi terhadap kenyataan atau reality masyarakat dan persekitaran yang berlaku pada masa itu. Malah mereka juga menguasai teknik dan unsur penceritaan karya kreatif imaginative itu dengan baik untuk mencitrakan semula realiti sebagai cerminan dan bayangan nilai budaya masyarakat bangsanya dalam bentuk karya sastera khususnya novel.

No comments:

Post a Comment