Sunday, 16 November 2014

“Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden oleh Solehah Ishak”

Teks sastera dalam genre drama merupakan suatu wadah yang membawa pemikiran seorang pengarang dan dihidupkan oleh pengarah yang mampu menginterpretasikan teks setepat yang mungkin. 
  Solehah Ishak dalam artikel “Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden” mengklasifikasikan teks dalam beberapa bentuk:
1)   deklaratif
2)  imperatif 
3) interogatif. 
      Dalam teks deklaratif, paradigma pengarang cukup mudah ditanggapi oleh pembaca dan khalayaknya. Ini kerana mesej dan makna tidak dibisukan, malah disuarakan dengan terus terang secara tersurat. Pembaca tidak perlu mentafsir makna tersembunyi dalam teks kerana segala-galanya telah tersurat. Teks deklaratif ini berupaya memberi kesan yang cukup kuat kepada khalayaknya tanpa mengira tahap literasi mereka. 
   Teks imperatif pula bertolak daripada modul drama realisme walaupun memaparkan rentetan peristiwa yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat dan kebudayaannya. Teks yang berbentuk imperatif tidak mengemukakan sebarang kesimpulan. Pembaca diminta untuk mengambil pendirian masing-masing, membuat kesimpulan sendiri setelah teks memaparkan segala persoalannya. 
     Teks interogatif berbeza daripada teks deklaratif dan imperatif kerana ia mempersembahkan cerita yang berlapis-lapis: drama dalam drama, cerita dalam cerita, mimpi dalam mimpi, realiti dalam ilusi dan sebagainya. Teks juga menzahirkan pelbagai suara dan makna sama ada secara tersurat ataupun tersirat. Makna yang tersirat itu yang lebih penting walaupun sukar difahami oleh khalayak. Segala makna yang disampaikan oleh teks diberi konteks latar belakangnya yang tersendiri. Walaubagaimanapun, makna tersirat lebih penting meski sukar untuk difahami oleh pembacanya. Teks ini dianggap ‘berat’ yang tidak mungkin dapat diselami oleh pembaca secara bersantai.


Wednesday, 12 November 2014

Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan oleh Khalif Muammar A.Haris

Pada masa kini, umat Islam mengalami dilema dalam menyikapi tradisi. Terdapat tiga golongan iaitu golongan modenis, tradisionalis dan golongan lain. Ketiga-tiga golongan ini mempunyai pandangan yang berbeza. Antaranya ialah:
Golongan modenis dan pascamodenis:  Tradisi merupakan beban yang harus dilupakan supaya dapat maju ke hadapan.
Golongan tradisionalis: Tradisi mestilah dikekalkan dan tidak mengalami sebarang perubahan.
Golongan lain: Mengambil jalan tengah dengan menerima apa yang baik dan menolak yang salah dan buruk.
    Menurut pandangan Barat, perkataan 'tradisi' adalah memberi konotasi yang negatif kerana ianya merujuk kepada cerita dongeng dan mitos yang diturunkan dari satu generasi ke generasi melalui komunikasi lisan. Pemikir Barat telah menolak konsep tradisi kerana ianya tidak releven untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan kontemporari. Walaubagaimanapun, golongan Modenis menganggap turath sebagai beban sejarah. Namun pandangan itu bercanggah dengan pemikir Islam. Golongan pemikir Islam melihat turath sebagai satu panduan bagi umat Islam untuk memahami dan melaksanakan ajaran agama Islam dalam menjalani kehidupan yang baik. Turath merupakan warisan yang merakamkan tentang bagaimana Islam difahami dan dilaksanakan sejak awal kedatangan Islam. Rakaman dan khazanah keilmuan ini sangat penting dalam membimbing umat Islam masa kini agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
    Modernity berasal dari perkataan Latin. Dengan kata lain, medeniti merujuk kepada satu fasa sejarah Barat yang sedang mengalami pasca-tradisi, pasca zaman pertengahan. Ciri-ciri modeniti berpaksikan kepada industrialisme, kapitalisme, sekularisasi dan negara-bangsa.
  Menurut perspektif Islam, pembangunan adaalah secara menyeluruh. Dalam konsep pembangunan Islam, agama memainkan peranan yang dominan dalam segala aspek pmbangunan. Islam menggalakkan sebarang bentuk pembangunan haruslah membawa kepada kesan yang lebih baik kepada manusia dan bukan membebankan mereka.

Tuesday, 11 November 2014

"i want touch the dog"





Baru- baru ini berlangsungnya sebuah program 'I Want to Touch a Dog' di Central Park, One Utama. Tujuan program tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam khususnya kepada orang Melayu mengenai cara untuk berhadapan dengan anjing dan bagaimana mengurangkan rasa takut terhadap anjing. Pada pandangan saya, program ini tidak harus diadakan kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu. Islam tidak perlu satu kempen sebegini, kerana segalanya dah jelas dalam Al Quran dan Hadis

Saya sedikit kecewa apabila  melihat ramai anak-anak muda termasuklah kanak-kanak yang hadir ke program I Want to Touch a Dog ini. Melihatkan gambar-gambar mereka yang nampak riang gembira tanpa rasa bersalah menyentuh dan memeluk anjing tanpa sebab yang PERLU dibuat begitu.

Pendapat saya kalau setakat nak bagi kesedaran macam itu, kita yang muslim ini tak perlulah nak sentuh atau nak gomoi anjing itu. Kalau dari segi hukum yang saya tahulah kalau kering boleh pegang. Tapi kita pasti ke tangan kita tangan tak basah ? Bulu anjing tak basah ? Tak kena air liur anjing ? Nanti ada pula yang cakap pegang anjing kecoh, pegang bukan muhrim tak kecoh pula.

Saya rasa ada antara kita ni ramai yang tahu pasal hukum pegang anjing ni.  Cuma mungkin ada sesetengah yang masih keliru. Kalau kita bela untuk jaga kebun, untuk jaga ladang, untuk digunakan sebagai binatang pemburu dibolehkan.

Buat semua di luar sana. Islam adalah agama yang membawa konsep kasih sayang dan mengajar umatnya berlaku baik terhadap setiap makhluk Allah s.w.t termasuklah anjing. Haiwan ini tidak patut dikasari, dianiayai dan sebagainya. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, itu tak bermakna penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana bahayanya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman! Wahai sekalian manusia, hindarkanlah dari membuat perkara-perkara yang mengganggu sensitiviti masyarakat setempat.


Wallahua'lam

Saturday, 8 November 2014

SALAM PERKENALAN



Assalamualaikum dan selamat datang. Blog ini dihasilkan bagi memenuhi tuntutan kursus  SKMM 6013 Kesusasteraan dan Falsafah Melayu yang dibimbing oleh Dr. Masrynna Ahmad.