Teks sastera dalam genre drama
merupakan suatu wadah yang membawa pemikiran seorang pengarang dan dihidupkan
oleh pengarah yang mampu menginterpretasikan teks setepat yang mungkin.
Solehah Ishak dalam artikel “Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden”
mengklasifikasikan teks dalam beberapa bentuk:
1) deklaratif
2) imperatif
3) interogatif.
Dalam teks deklaratif, paradigma pengarang cukup mudah ditanggapi
oleh pembaca dan khalayaknya. Ini kerana mesej dan makna tidak dibisukan,
malah disuarakan dengan terus terang secara tersurat. Pembaca tidak perlu
mentafsir makna tersembunyi dalam teks kerana segala-galanya telah tersurat.
Teks deklaratif ini berupaya memberi kesan yang cukup kuat kepada khalayaknya
tanpa mengira tahap literasi mereka.
Teks imperatif pula bertolak daripada
modul drama realisme walaupun memaparkan rentetan peristiwa yang benar-benar
berlaku dalam kehidupan masyarakat dan kebudayaannya. Teks yang berbentuk
imperatif tidak mengemukakan sebarang kesimpulan. Pembaca diminta untuk
mengambil pendirian masing-masing, membuat kesimpulan sendiri setelah teks
memaparkan segala persoalannya.
Teks interogatif berbeza daripada teks
deklaratif dan imperatif kerana ia mempersembahkan cerita yang berlapis-lapis:
drama dalam drama, cerita dalam cerita, mimpi dalam mimpi, realiti dalam ilusi
dan sebagainya. Teks juga menzahirkan pelbagai suara dan makna sama ada secara
tersurat ataupun tersirat. Makna yang tersirat itu yang lebih penting walaupun
sukar difahami oleh khalayak. Segala makna yang disampaikan oleh teks diberi
konteks latar belakangnya yang tersendiri. Walaubagaimanapun, makna tersirat
lebih penting meski sukar untuk difahami oleh pembacanya. Teks ini dianggap ‘berat’
yang tidak mungkin dapat diselami oleh pembaca secara bersantai.
No comments:
Post a Comment